MENYAMBUT ketibaan bulan puasa, mungkin tidak keterlaluan jika dianggap sebagai sebahagian daripada perayaan, terutamanya apabila dikaitkan dengan makanan.Pelbagai jenis makanan dan kuih-muih boleh ditemui. Selain itu, kaum lain juga lebih berpeluang untuk mengenali hidangan tradisi masyarakat Melayu yang sukar ditemui melainkan bulan puasa.
'Pesta makanan' ini bukan sahaja boleh dilihat di pasar-pasar malam atau bazar Ramadan yang seakan cendawan tumbuh selepas hujan, tetapi juga di hotel-hotel mewah yang menawarkan bufet Ramadan yang tidak terkira banyaknya dan tentunya menyelerakan.
Dalam keseronokan kita memenuhi selera, ramai di kalangan kita yang mengalami masalah gangguan sistem pencernaan disebabkan oleh cara pemakanan yang tidak sihat.Makan secara berlebihan amat lazim berlaku semasa berbuka puasa. Setelah sehari suntuk berpuasa, sesetengah individu tidak dapat menahan rasa lapar dan makan secara tidak terkawal.Perbuatan ini bukan sahaja membebankan dan menjejaskan sistem penghadaman, malah mengakibatkan seseorang itu dibelenggu masalah sistem pencernaan, seperti kembung perut, pedih ulu hati, cirit-birit, sembelit dan sebagainya.
Bazar Ramadan atau gerai-gerai makanan di tepi-tepi jalan dengan makanan yang tidak ditutup akan mendedahkan makanan kepada pencemaran, seterusnya mendedahkan pelanggan kepada risiko keracunan makanan.Terdapat juga di kalangan peniaga yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan dalam proses penyediaan makanan.
Pelanggan mungkin mengalami cirit-birit akibat termakan hidangan yang tidak disediakan dengan cara yang bersih. Jenis makanan yang diambil juga merupakan salah satu faktor penting bagi kesihatan sistem pencernaan.Makanan yang tinggi dengan karbohidrat ringkas dan lemak, tetapi rendah dengan serat boleh mengakibatkan masalah sembelit.
Masalah sembelit biasanya merujuk kepada kesukaran membuang air besar. Kurangnya pengambilan air dan ditambah dengan kurangnya aktiviti fizikal semasa berpuasa akan meningkatkan risiko sembelit.
Selain sembelit, tidak kurang juga yang mengalami masalah kembung perut. Punca utama yang mengakibatkan perut berangin adalah disebabkan oleh penghasilan gas yang berlebihan akibat daripada sistem pencernaan yang kurang baik.Makanan yang tidak sihat turut menjejaskan sistem penghadaman dan menggalakkan pertumbuhan bakteria berbahaya dalam usus dan seterusnya menghasilkan angin yang berlebihan.
Di samping itu, cara makan yang gelojoh semasa berbuka puasa juga boleh menyumbang kepada masalah ini dengan kemasukan angin yang berlebihan ke dalam perut.
Usus menjadi habitat kepada berjuta-juta mikroorganisma (flora usus) dan ratusan spesiesnya. Kebanyakan daripada bakteria ini terdiri daripada bakteria bermanfaat dan berfungsi dalam proses sintesis vitamin, perangsang sistem imun dan sistem pertahanan badan terhadap virus dan bakteria berbahaya.
Keseimbangan bakteria berbahaya dengan bakteria bermanfaat perlu dikekalkan bagi membolehkan sistem pencernaan berfungsi secara normal.Namun, keseimbangan ini boleh terganggu disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat, pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik yang kerap, penyakit dan juga peningkatan usia.
Untuk menggalakkan sistem usus yang sihat, probiotik iaitu bakteria hidup yang bermanfaat boleh diamalkan di sepanjang tempoh berpuasa bagi menangani masalah pencernaan dan kesihatan usus secara amnya.
Probiotik dari strain Lactobacillus acidophilus NCFM® dan Bifidobacterium terbukti secara klinikal boleh mengembalikan keseimbangan bakteria usus dengan menambahkan bakteria bermanfaat, sekaligus merangsang sistem pencernaan yang lebih sihat dan mengurangkan masalah cirit-birit, simbelit dan kembung perut.
Dengan sistem usus dan pencernaan yang sihat, daya ketahanan badan akan dipertingkatkan. Antara amalan pemakanan yang boleh diamalkan di sepanjang Ramadan, termasuklah:
* Diet seharusnya lebih ringkas. Ambil makanan yang lambat dicerna seperti bijirin penuh, oat, kekacang dan lentil semasa bersahur.
* Berbuka puasa dengan kurma dan jus buah-buahan untuk tenaga segera.
* Pilihlah makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan untuk mencegah sembelit dan memudahkan penyingkiran bahan kumuh.
* Elakkan makanan goreng dan pedas untuk mengelak masalah pencernaan dan iritasi perut.
Sama-samalah kita menjaga kesihatan di bulan Ramadhan yang mulia ini.Mudah2an segala amal kita akan diberkati ALLAH S.W.T. amin